25KM SEKITAR KUANTAN

25KM SEKITAR KUANTAN...ANEKA MUFFIN, APAM & KEK CAWAN,ANEKA KEK HARI LAHIR, PERTUNANGAN & PERKAHWINAN,ANEKA COKLAT HANTARAN & ANEKA BISKUT RAYA and bakes of every kind.

Saturday, December 6, 2008

SENI ITU INDAH............


Saya setuju dengan pandangan Cikgu Wahab yang mengatakan matapelajaran Pendidikan Seni dan Kesusasteraan Melayu semakin pupus. Namun saya tidaklah melabelkan subjek ini sebagai hampir pupus sebaliknya ia telah mula dipinggirkan atau lebih sopan telah dianaktirikan. Bila sebut saja matapelajaran Pendidikan Seni saya pasti akan rasa terpanggil untuk meluahkan sedikit sebanyak pengalaman yang telah dilalui sebagai seorang pendidik. Saya memang meminati subjek lukisan sejak di sekolah rendah lagi.

Apabila melangkah ke alam menengah minat saya menjadi semakin mendalam apabila saya mendapat seorang guru yang sangat saya kagumi. (di SM Buyong Adil Tapah Perak, 1978) Setiap minggu guru ini akan hadir dengan sesuatu yang baru yang memang senantiasa dinanti-nantikan oleh muridnya. Setiap bulan kami dibekalkan dengan 3 buku drawing blok yang bersaiz A4 untuk gubahan fikiran, abstrak dan lakaran pensel. Kami diminta melukis apa saja asalkan memenuhi 3 kategori itu. Saya melukis semaunya. Saya berimaginasi, berilusi, dan membayangkan sesuatu yang cantik. Dari situ juga saya dapat mengintai bakat dan kebolehan rakan-rakan saya dalam melukis. Pelbagai rona, panorama, lakaran yang mungkin menggambarkan identiti, curahan rasa, inspirasi dan ilusi masing-masing. Guru tersebut (cikgu Fauzi) terus-terusan mencetuskan idea baru dalam teknik lukisan yang sememangnya ada dalam sukatan pelajaran PS.


Ketika itu saya seronok membuat ikatan dan celupan, lino carving, bermain gam kanji dan warna air, membuat kolaj, mobail, montaj, anyaman, lipatan. origami, dan sebagainya. Paling saya tidak lupa ialah beliau bersungguh memperkenalkan kepada kami semua tentang warna asas, warna tertier, warna panas, warna sejuk dan setiap kali mengajar beliau mesti ada membawa alat bantuan. Sedikit sebanyak guru ini telah membina minat saya terhadap alam semulajadi dan saya mulai cenderung melukis panorama dan pemandangan alam. Saya lebih meminati lukisan alam semulajadi. Beliau telah mengajar bagaimana hendak mencampur warna, cara memegang berus, memilih warna sesuai. Apabila tiba kepada kemahiran capan atau corak, maka macam-macam sayur dibawanya..seperti bendi, ubi kentang, pelepah pisang, betik yang telah dihiris. Warna Buncho saya paling cepat kehabisan. Sehingga di saat ini saya masih ingat setiap ilmu PS yang telah beliau sampaikan.


Dipendekkan cerita..saya mendapat C3 dalam Lukisan SPM dan principal dalam STP. Apabila menjadi guru saya berpeluang menjadi Ketua Panitia Pendidikan Seni dan saya buat sehabis yang baik kerana saya minat.. Selama 6 tahun berturut-turut saya memegang jawatan KP PS. Apabila Guru Besar memenuhi permintaan saya untuk mempunyai sebuah bilik khas untuk Pendidikan Seni saya menjadi semakin bersemangat. Bersama-sama jawatankuasa saya bina bilik itu sehingga menyerupai sebuah galeri seni. Segala hasil kerja guru dan murid saya kumpul, setiap kali waktu PS murid akan datang ke bilik ini. Pendekkata bilik ini meriah beroperasi.

Saya hidupkan Panitia PS dengan mengadakan pelbagai aktiviti/pertandingan ikut aliran sehinggalah apabila pasca UPSR saya adakan aktiviti untuk murid tahun 6 iaitu pertandingan kraftangan dari bahan terbuang. Peruntukan PS saya gunakan sewajarnya sehingga lesung batu pun saya beli untuk tujuan membuat paper mache, Saya beli tepung dan garam untuk di jadikan doh dalam kemahiran membentuk dan membuat binaan. Murid-murid siapkan bentuk-bentuk doh dan saya bawa balik bakar dengan oven. Apabila dah masak murid akan warnakan bentuk-bentuk yang telah dihasilkan ini samada bentuk cookies, haiwan kecil atau bentuk-bentuk geometri.

Apabila mengajar banyak alat yang perlu saya bawa ke dalam kelas maka sejak itu saya mula memiliki sebuah bakul berwarna merah. Sehinggakan seorang murid darjah satu yang sukar mengingati nama saya menamakan saya sebagai 'cikgu yang selalu bawa bakul merah tu'. Setiap kali masuk kelas, penuhlah bakul ini dengan pelbagai alat tulis dan juga alat2 untuk murid beraktiviti. Pengajaran saya juga berlatarbelakangkan muzik. Adakalanya saya sulami latar muzik gamelan, adakala kitaro, dan irama instrumental tarian melayu, irama classic atau pun kadang-kadang nursery rymes sahaja. Tujuan saya sambil murid berkarya menghasilkan kreativiti masing-masing, halua telinga mereka terisi dengan alunan bunyi seni muzik yang tenang dan bukan muzik yang bising bercelaru.. Jadi secara tidak langsung saya gabungkan seni muzik dan seni visual dalam pembelajaran mereka.

Ketika mengajar PS di tahap dua ( tahun 4,5 dan 6) saya sering mengaplikasikan apa yang telah diajarkan oleh guru saya ketika saya di sekolah menengah kepada anak-anak murid saya. Kadang-kadang di tahap yang agak tinggi. Saya mahu murid2 tau bagaimana membuat tona warna, teknik resis, membuat kolaj, membuat puppet, anyaman, cetakan, catan, asemblaj, melukis orang lidi dengan betul, dan menjadi satu kepuasan kepada saya apabila melihatkan hasil kerja murid begitu membanggakan. Dari riak wajah murid-murid ini mereka sangat gembira apabila melalui apresiasi, kerja-kerja mereka dipamer di sudut matapelajaran PS .

Sehingga di saat ini saya masih mengajar PSV. Murid2 selalu tanya mengapa cikgu sekejap ada sekejap tiada. Biasalah murid tahun 1 masih belum mengerti kita tinggalkan sekolah untuk sambung belajar. Maka soalan yg sering tercetus ialah bila cikgu akan kembali mengajar lagi. Apabila saya kembali dari upsi lewat fasa-fasa yang ditempuhi, melihatkan kelibat saya, murid-murid ini melonjak kegembiraan dan pernah terdengar di telinga saya begini, "yeh yeh cikgu dah balik, kita boleh belajar seni semula" Itulah murid Tahun 1. Dalam hati saya berbisik, "cikgu yang menggantikan saya tidak mengajar PS kah?". Apabila saya risik-risik, ternyata guru yang mengganti tidak sama dengan guru yang asal mengajar. Ternyata murid-murid ini amat mencintai subjek PS ini dan sudah tau menilai!!

Kini, pada tahap pengalaman saya yang telah lalu, saya selalu memberi semangat dan juga bimbingan kepada rakan-rakan guru di sekolah yang sering merungut menyatakan ketandusan idea untuk mengajar PS. Saya nyatakan PS bukan lah setakat lukisan bebas sebaliknya murid perlu dibimbing dan ditunjukkan satu contoh hasil kerja yang akan mereka hasilkan di akhir pembelajaran. Jadi penting kepada cikgu untuk membuat 'homework' dahulu disamping kenalah kreatif juga.

Apa yang ingin saya sampaikan disini ialah pertama, apabila kita mengajar biarlah P&P meninggalkan kesan kepada murid.. sebagaimana cikgu PS yang terdahulu ketika saya di sekolah menengah..pengajaran beliau sangat berkesan sehingga saat ini saya masih ingat cara guru ini mengajar perspektif. Untuk memberi gambaran mudah dia menyuruh saya melukis landasan kereta api. Kedua, apabila kita melakukan sesuatu biarlah dengan penuh minat kerana jika tiada minat semuanya akan menjadi hambar. Jika ada kesungguhan dan minat kerja yang kita usahakan itu akan terus menjadi mudah dan memberi kepuasan yang tidak terhingga. ketiga, teruslah mengajar PS kerana subjek ini merupakan satu riadah dan escapism kepada murid melepaskan tekanan yang mereka alami dalam menghadapi subjek yang berat/teras saban hari. melalui PS murid dapat mengenali nilai-nilai estetika, mensyukuri ciptaan Allah SWT dan menghargai keindahan di sekeliling. Sekali gus dapat membentuk jiwa yang halus penuh dengan nilai-nilai murni menepati falsafah pendidikan negara yang mahukan pelajar seimbang dari segi jeri, perkembangan potensi secara menyeluruh, dan lengkap kognitif, afektif dan psikomotornya.

Saya juga amat berharap agar matapelajaran Pendidikan Seni Visual ini tidak dipinggirkan sebagaimana kebanyakan yang berlalu di sekolah-sekolah. Hak murid untuk menuntut ilmu kesenian ini telah dinafikan oleh kerana terlalu tunduk kepada tuntutan kecemerlangan peperiksaan UPSR. Jika kita lihat orang-orang cina, mereka sanggup hantar anak-anak tuisyen bagi subjek ini untuk mendapatkan kemahiran. Sebenarnya jika seseorang pelajar mempunyai kemahiran dalam kesenian tidak kiralah apa jua seni yang diceburi, hidupnya pasti terisi, masa depan cerah, senang nak 'cari makan' dan yang penting tau menghargai. Sesungguhnya seni itu terlalu indah untuk dibicarakan. SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA kepada semua umat Islam.

7 comments:

kembara kelana said...

aku minat seni mempertahan kan diri sebab tu aku agak brutal

Anonymous said...

Cikgu yati,

Saya pun minat juga seni lukis tapi tetap tak pandai melukis. Pernah sekali pengalaman mengambil STPM persendirian saya terpaksa lukis gambar kunyit. Beria-ialah saya melukisnya. Tanpa saya sedari ketua pengawas stpm pada masa itu datang menghampiri dan merenung hasil karya saya. Terkelip-kelip mata dia. Dia tanya saya,"awak lukis apa ni sazili ?" Saya jawab " saya lukis kunyit cikgu".Dia terus merenung lukisan saya dan berkata " ye ke kunyit, macam tahi je saya tengok". Itulah hasil karya saya waktu itu. Persepsi memang sebiji dah kunyit tapi bagi orang lain, tahi jadinya. Saya masih ingat ketua pengawas itu ialah sifu saya, cikgu wahab. Dia ingat ke tidak entah lah. Tapi saya tetap tak lupa.

mantan said...

Membaca posting seri, memang terasa hebatnya guru PSV yang bernama Serisuryati ni. Memanglah, menjadi guru seni bukan sahaja memerlukan bakat malah mempunyai minat yang mendalam terhadap matapelajaran yang diajar. Saya dapat rasakan semua itu ada pada seri. Keep it up!

.....

Tak macam si sifu sir sazili tu... tak dapat bezakan gambar kunyit dengan gambar tahi...hehehehehe.. teruk betul komen sifu tu...kalau tahi, dah tentu lah ada baunya...

Tapi sekarang ni sir sazili dah pandai serba serbi, kecuali melukis aje...Sir sazili, teruskan belajar melukis...lama kelamaan pandailah tu..

chehassan said...

T tak pernah ceritapun pasal ni kpd saya ketika di upsi. Sebenarnya saya juga cigku seni dan banyak pengalaman dalam PSV di SM. Tapi kecewa dengan dasar KPM hingga kini. Saya dapat A stpm T. Dan pernah mendapat bimbingan Hjh. Nazli Abbas (Kak N - Cumi dan Ciki) dan terlalu rapat dengan beliau. Cerita pasa SV ni, saya rasa kita perlu berbincang panjang lebar di sini dan kalau mampu buat satu cadangan kepada KPM. Jadi, saya ajak rakan2 yang hebat dalam seni di seluruh sek, kita hidupkan peluang kerjaya anak2 Melayu dalam bidang seni ni. Biar kita berbloger ni ada maknanya, bukan setakat cit cet kosong. Terima kasih bagi komen di blog saya.

mantan said...

Di kebanyakan negara maju, seni semacam diwajibkan dari peringkat rendah ke peringkat tinggi. Mereka mengkaji karya-karya seni yang dihasilkan pengkarya-pengkarya terdahulu sebab dalam karya seni tersirat pelbagai pemikiran.

Walaupun mereka maju dalam bidang sains, sehingga ke angkasa lepas, tetapi pendidikan seni tidak diabaikan.

Oleh sebab itu kita lihat bagaimana hasilnya. Mereka maju bukan sahaja dalam sains tetapi lihatlah sebagai contoh, hasil kary seni dalam media eletronik.

Misalnya kalau mereka hasilkan filem yang berkaitan perubatan,undang-undang, mereka berjaya kerana memahami seni.Padahal pengkarya-pengkarya mereka terdidik dalam zaman sains. Maknanya, dalam pendidikan, mereka menganggap seni tu penting. Mereka melihat sains dari sudut seni juga.

Jika mereka menghasilkan karya sastera, mereka masukkan unsur-unsur sains. Begitulah sebaliknya.

Jika mereka menghasilkan kereta,kita dapati kereta mereka bukan sahaja cantik tetapi "sedap mata memandang" kerana mereka mengambilkira unsur-unsur seninya juga.
(Kereta Malaysia, bagaimana? - sepatunnya lebih cantik lagi...)

Seni amat berkait rapat dengan "propotion" (keseimbangan). Kenapa kita melihat sesuatu (hasilkarya, ciptaan,benda,orang,tumbuhan, bangunan dll) itu "cantik" atau "tidak cantik"?. Kita melihat keseimbangannya.Itulah seninya.


chehassan, bagaimana kita nak yakinkan orang-orang yang buta seni tu...

Anonymous said...

memang saya tak pernah cerita pada che hassan tapi usop tau sebab dia ada datang de rumah saya dan lihat di dinding rumah saya ada beberapa lukisan hasil tangan saya sendiri ketika di bangku sekolah. saya kurang bercerita sebab di sepanjang pengajian kita di UPSI kita tidak dihidangkan dengan subjek ini. Bagi saya adalah sangat tidak adil kerana matapelajaran seperti PJ,Bacaan, Penulisan, Matematik, Sains, ICT ada dalam skop kursus kita. Mengapa subjek PSV dan Muzik tidak dimasukkan. Tentu kita boleh kupas dan bahas tajuk ini dgn lebih meluas lagi.....saya kesal pelajaran seni terabai sebab itu budak2 sekarang kasar jiwanya, tak pandai menghargai sesuatu yg bermakna.

chehassan said...

Saya sangat setuju dengan Cikgu wahab (simantanguru), dan Seri, terlalu besar maknanya seni dalam kehidupan. Sejak saya jadi GB, dapat saya perhatikan bezanya antara GB seni, dengan GB yang takda seni, dalam semua aspek. Yang depa tahu, nak budak2 dapat 5A dlm UPSR, yang lain dilihat sebalah mata. Apapun, bagi kita yang ada ilmu ini, perjuangkanlah sejauh mana kita mampu dalam bidang dan peluang masing-masing.

My Blog List

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN (1967 - 2008)

(1967 - 1969 )AHMAD PRIMARY SCHOOL,
PEKAN, PAHANG DARUL MAKMUR
(1970 – 1972) ABU BAKAR PRIMARY SCHOOL.
MENTAKAB PAHANG.
(1973 -1975) SMJK ( P ) JLN TEMERLOH, KUALA LUMPUR
(1976 – 1980) SEKOLAH MENENGAH BUYONG ADIL,
TAPAH, PERAK DARUL RIDUAN.
1981 - 1983
MAKTAB PERGURUAN SERI KOTA, KUALA LUMPUR.
2005
INSTITUT AMINUDDIN BAKI, GENTING HIGHLANDS
2006-2008 UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
TANJONG MALIM, PERAK.

PENGALAMAN BERTUGAS


02.01.84 – 31.12.1985
SRK Batu Arang
Selangor

02.01.86 – 30.11.1995
SK (LKTP) Lepar Hilir 2
26300 Gambang, Pahang

02.12.95 – 29.05.1996
SK(LKTP) Lepar Utara 01
BP Jengka, Pahang

01.06.96 – 31.12.1997
SK(LKTP) Panching Timur,
26140 Kuantan.

02.01.98 – 15.06. 2003
SK Wira, Kuantan

16.06.03 – 30.11.2003 (GPK Hem)
SK Runchang
26700 Muadzam Shah

01.12.2003 – 01.12.2006 (GPK Petang)
SK Beserah 26100 Kuantan

23.01.2006 – 30. 06.2006 9 (Sandaran NPQH Kohort 9)
SK Pengkalan Tentera, Kuantan.

01.12.2006 - 16.07.2008 (GPK Ko)
SK Sungai Isap Kuantan

17.08.2008 - sekarang (GPK Ko)
SK Wira Jalan Panching Kuantan